Saturday, 7 December 2013

23:56
Hisablah diri sendiri sebelum dihisab .
Manusia ini selalu sahaja terlalu memerhatikan
tingkah laku orang lain sehingga terlupa diri sendiri juga punya keburukan.
Mencari-cari keburukan orang lain lalu memendamkannya. ALLAH SWT takdirkan,
akhirnya suatu hari dia terluahkan keburukan orang lain yang dipendam selama
ini.
Sukakah kalau orang lain menilai kita seperti itu ?
Kita lalai terhadap diri sendiri sehingga sibuk
menilai-nilai orang lain. Sehingga suatu saat, rupanya kita tidak pandai
menilai diri sendiri. Sangat teliti mengenai perangai orang lain tanpa berpijak
di kaki sendiri.
Betullah kata seorang ulama, Sahal bin Abdillah;
mengenali diri sendiri itu lebih sulit dan lebih halus berbanding musuh.
Maksudnya, aib dan keburukan sendiri sangat sukar dikesan oleh empunya diri
berbanding aib dan keburukan orang lain.
Agak-agaknya, berapa ramai antara kita yang berdoa
supaya ALLAH SWT mengenalkan kita Kepada diri sendiri? Maksud saya, supaya kita
selalu menyedari kekurangan dan keburukan kita terhadap manusia lain. Dalam
keramaian, mahu pun ketika bersendirian?
Jangan terlalu lantang mengatakan orang lain begini
dan begitu. Kita tidak tahu, di tempat lain, di satu sudut yang lain, ada
manusia yang sedang menilai setiap perbuatan dan tingkah kita. Jangan sampai
kita merasai sakitnya apabila orang lain menilai dan lantang berkata-kata
mengenai keburukan diri kita.
Manusia diciptakan untuk berkenal-kenalan,
berkasih-kasihan, menjadi kawan, menjadi sahabat dan menjadi keluarga. Tahu
antara hikmahnya itu adalah apa? Pernah terfikir semua ini atau tidak?
Antaranya adalah untuk saling melengkapi !!!
Apa yang buruk, sama-sama ditutupi dan diperbaiki.
Apa yang baik, sama-sama diamalkan dan didorong untuk menjadi yang lebih baik
serta bermanfaat kepada ummah.
Kita ini tiada yang sempurna.
Kerana kita punya kekurangan serta kelemahan
masing-masing dalam diri.
Pssst, korang! Andainya terbuka hijab keburukan diri
saya pada pandangan korang,
Adakah korang akan berkata sesuatu? Atau..
Adakah korang akan berlalu pergi tanpa kata dan
tidak menoleh lagi ?
Jom sama-sama berdoa kepada Tuan Punya Dunia.
Jangan hanya membuka mata, tapi hati juga
Dan KAMI pasti akan uji kamu dengan sedikit rasa takut, rasa lapar,
kekurangan harta, kekurangan nyawa dan kekurangan buah-buahan. Dan berilah
khabar gembira Kepada orang yang sabar. –al baqarah : 155-
ALLAH SWT memang telah menjanjikan dan menetapkan
ujian buat kita!
Jika direnung-renungkan kitaran hidup seharian,
memang tiada yang terlepas daripada ujian-Nya, sama ada kita menyedarinya atau
tidak. Semuanya datang silih berganti. Kita akan diuji dengan masa lapang, masa
sempit, gembira dan sedih, sakit dan sihat serta pada setiap pertemuan dengan
manusia lain.
Ada manusia yang diuji… hari ini tidak dapat
menjamah apa-apa. Esok pula hanya dapat menelan nasi yang sedikit. Tidak dapat
membeli apa yang diingini lantaran ujian kemiskinan. Sedih, kan?
Tetapi, ada suatu kepastian yang sangat pasti!
Setiap ujian itu baik kesenangan atau kesusahan, pasti tidak kekal. Setiap
satunya ada pasang dan surutnya. Ujian-ujian tersebut akan menyapa kehidupan
hamba untuk tempoh waktu yang ditentukan, lalu digantikan dengan sesuatu yang
sesuai menurut kehendak-Nya.
Apa yang penting, haruslah sabar dalam berusaha!
Bersusah di dunia, bersenang di syurga selamanya
Kita tahu hakikat di dunia ini sementara cuma. Apa
yang kekal hanyalah negeri akhirat sana. Kita semua beriman tentang perkara
itu, kan ?
Seseorang muslim akan tetap diberi
cubaan, sehingga dia berjalan di muka bumi ini tanpa dosa sedikit pun. –HR. al
Bukhari-
Masyaallah !
Betullah. Ujian itu adalah pengguguran dosa kita.
Subahanallah!
Pernah tidak terfikir, kita beribadat di dunia ini
memang untuk bekalan di akhirat, kan? Bekalan untuk menyelamatkan diri di
antara dua gerbang yang memisahkan kenikmatan dan kesengsaraan.
Tinggal di dunia itu hanya sementara, bukan?
Manakala di akhirat sana, manusia yang beruntung akan tinggal di dalam syurga
untuk selama-lamanya!
Besar sungguh sebuah bayaran di akhirat untuk ujian
yang tidak kekal di dunia! Jika kita seorang muslim kita harus menjadi muslim
yang tetap bersabar dengan ujian-Nya. Kerana setiap ujian yang datang pasti ada
HIKMAHNYA. Allah itu perancang yang baik!
Ada apa dengan remaja ?
Remaja ini adalah satu golongan yang sering
dikaitkan dengan perkara-perkara negatif. Di mana ada keliaran yang berlaku,
maka itulah remaja. Di mana ada manusia yang terumbang-ambing dengan hala tuju
hidup, maka nama remajalah yang akan selalu dinobatkan. Saya macam ‘kehairanan’
apabila golongan seangkatan saya ini sering dikaitkan dengan perkara negatif
sahaja. Seolah-olah tidak kelhatan secebis kebaikan pada diri mereka.
Diakui, zaman remaja inilah keinginan dalam jiwa
mahu mencuba segalanya. Semangat yang membara itu digunakan untuk explore
benda-benda mahupun perkara-perkara baru yang menarik perhatian. Jiwanya memang
penuh keghairahan. Di fasa ini, kekuatan, semangat dan pemikiran memang berada
pada tahap maksimum. Dan pada saat ini jugalah, seseorang remaja itu seperti
berperang dengan diri sendiri
Mencari identiti diri, mungkin?
Semua kita pasti akan melalui zaman remaja sebelum
menjenguk ke usia yang lebih tua. Ia zaman yang penuh dengan semangat dan
kekuatan. Maka, pada zaman inilah juga para remaja mencari-cari erti diri
mereka yang sebenar.
Tinggal sahaja diri sendiri memilih mahu menjadi
baik atau sebaliknya.
Kita bukan tidak boleh berubah sebenarnya. Kita boleh! Tapi kita
banyak member alasan kepada diri sendiri. Yang hakikatnya kita banyak memberi alasan kepada ALLAH Ta’ala. Nanti dan nanti, lagi dan lagi.
Padahal, sikit pun DIA tidak rugi dengan kesombongan kita mahu datang
Kepada-Nya.
Saya selalu percaya bahawa siapa kita pada zaman
remaja ini, itulah nanti diri kita pada zaman akan datang. Maksud saya, pada
zaman tua nanti. Sebab apa? Segala kerja dan amalan yang dilakukan pada zaman
remaja ini akan jadi sebati dalam diri. Akhirnya tabiat itu akan di bawa ke
zaman tua.
Setiap kesan perbuatan hari ini mungkin akan
terlihat sekarang jua. Tidak mustahil kesannya akan terlihat pada masa hadapan
di mana ia mungkin mempengaruhi ahli keluarga kita; anak, cucu dan cicit. Jika
baik perbuatan kita, insyaAllah baiklah kesannya. Jika buruk perlakuan kita,
maka kita sendiri tahu akibatnya.
Kita selalu dipesankan bahawa apa yang kita buat
hari ini pada orang tua, sama ada baik atau buruk, esok lusa anak-anak akan
buat pada kita pula. Pendapat saya, memang betul adanya putaran hidup yang
begitu dan itu namanya qisas di dunia. Pada banyak hal, peringatan orang tua
banyak benarnya. Mungkin juga hasil pengajaran daripada perjalanan hidup
mereka. Lalu mereka alirkan nasihat itu Kepada kita, golongan remaja. Nasihat
yang tidak pernah ditelan zaman.
Ramai di antara golongan tua kini memandang remaja
itu hanyalah kelompok yang sudah rosak. Lebih-lebih lagi dengan masalah sosial
yang semakin teruk dewasa ini. Ya, mungkin betul golongan yang paling banyak
terlibat dalam masalah sosial itu peratus besarnya adalah remaja. Tapi sepatutnya
golongan yang lebih dewasa tidak terus menghukum remaja. Seharusnya golongan
dewasa inilah yang memimpin tangan anak-anak muda untuk kembali ke jalan yang
benar dan baik.
Korang boleh setuju atau tidak dengan pendapat saya?
Ramai remaja yang nakal itu bukanlah orang yang jahat dan keji. Kebanyakannya
ada cerita silam yang menyebabkan mereka bertindak demikian. Hasil pergaulan
dengan kawan-kawan yang berasal dari latar belakang yang berbeza, saya dapati
kebanyakan mereka berasal daripada keluarga bermasalah. Dari keluarga yang
tidak menitikberatkan pendidikan terhadap anak-anak dan membiarkan mereka babas
tanpa mengambil tahu kehidupan serta pergaulan mereka semasa di luar.
Remaja itu lembut jiwannya. Saya yakin itu. Remaja
ini kalau dibentuk dengan kena cara, hatinya pasti mencintai kebaikan. Tetapi
jika jiwanya dibentuk dengan cara keganasan, maka hatinya pasti tidak terkesan
dek kelembutan, apatah lagi paksaan.
Pada diri remaja itu ada semangat yang membara.
Dalam hati remaja itu ada kebaikan yang belum terserlah. Pada tingkah remaja
itu tersembunyi seribu kebaikan. Jiwa remaja, jiwa yang penuh dengan mahu
mencuba segalanya.
Jom kita menjadi seseorang. Setidak-tidaknya untuk
membantu diri sendiri. Jika kamu nakal, saya pun seorang yang nakal. Jika kamu
sukakan hiburan, saya juga menyukai hiburan. Jika kamu sukakan permainan, saya
pun dua kali lima, sama !
Kita in remaja yang jiwannya penuh dengan kekuatan,
harus berfikiran jauh ke hadapan. Berfikir untuk kebaikan masa depan. Kita
tidak selamanya akan kekal muda seperti sekarang. Lambat-laun, kita akan
menjenguk usia tua yang lemah dan mungkin juga tidak berdaya suatu hari nanti.
Namun, apa yang penting, kita sebenarnya tidak tahu bila kita ini akan mati.
Maka, seharusnya kita perlu ada persediaan untuk itu.
Untuk berubah tidak pernah ada istilah terlambat.
Jika di hati terdetik niat mahu berubah, maka teruskanlah. DIA akan hantarkan
orang baik-baik untuk membimbing dan menyokong usaha kita.
Jangan pernah berhenti melangkah. Jangan pernah
menyerah. Teruskanlah derap kaki kita.
Sekian. An Nur Akmar J